Jangan Tutup Pintu Hati Jika Hidayah Datang

Jangan Tutup Pintu Hati Jika Hidayah Datang
Oleh : Dr Juanda Bin Jaya

Pada diri manusia terdapat tiga jenis kekuatan yang dibekalkan oleh Allah SWT untuk menghadapi kerasnya ujian di dunia. Selain akal fikiran yang cerdas dan tubuh badan yang sihat, hati yang mantap adalah benteng utama bagi kekuatan diri manusia. Hati berfungsi sebagai sumber bermacam-macam perasaan; sama ada benci, rindu, kasih, sayang, dendam, sedih atau gembira, yang kesemuanya mengawal gerak tubuh manusia.

Kecerdasan akal tidak akan sempurna tanpa hati yang cerdas. Ramai cerdik pandai yang menjadi sampah masyarakat kerana ilmu yang dimiliki dikawal oleh hati yang rosak sehingga dengan ilmunya itu dia lebih banyak memudaratkan orang lain berbanding memberikan manfaat. Demikian juga kekuatan tubuh badan tidak akan sempurna kecuali dengan hati yang kuat. Jika hati sihat, nescaya tidak ada fenomena penganggur yang berbadan sihat. Demikianlah berpengaruhnya hati pada diri manusia.

Untuk memiliki kecerdasan dan kekuatan hati yang sentiasa menyala, kita hendaklah memastikan pintu hati kita sentiasa terbuka untuk mendapat hidayah Allah. Hidayah Allah akan dicurah ke dalam tasik hati manusia yang sentiasa terbuka dan bersedia menerima hidayah berkenaan. Jika kita menutup pintu hati, maka bagaimanakah hidayah itu dapat meresap ke dasar hati?

Hidayah Allah datang dalam pelbagai cara. Antaranya ialah melalui ilmu, sahabat yang salih dan kesedaran untuk bertaubat.

Pertama; Buka pintu hati ketika ilmu Allah datang.

Kesedaran menuntut ilmu di kalangan kaum muslimin pada hari ini semakin meningkat. Angin syiar dakwah turut bertiup kencang seiring dengan manifesto Islam Hadhari yang semakin rancak dijalankan. Majlis-majlis ilmu yang dibuka semakin ramai peminatnya. Demikian juga halnya dengan program-program dakwah di televisyen dan radio cukup mewarnai nuansa keilmuan umat Islam. Tetapi adakah kepelbagaian cara dan konsep yang diajarkan itu berkesan pada peribadi individu muslim yang belajar? Jawapannya ialah bergantung kepada keikhlasan yang bersumber dari hati.

Hati yang ikhlas akan menyerap ilmu dan menjadi kuasa hebat yang mampu merubah peribadi seseorang. Oleh itu, jangan tutup pintu hati ketika ilmu datang. Terimalah kebenaran itu dengan sikap ketaatan mutlak kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Amalkanlah apa yang kita pelajari kerana ilmu Allah itu bukan untuk makanan otak sahaja tetapi ia lebih diperlukan oleh hati orang yang beriman. Tanpanya hati akan mati. Jangan beralasan bahawa belum tiba masanya untuk kita berubah. Kenapa biarkan hati terhijab oleh nafsu dan kepentingan diri? Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidaklah patut orang yang beriman apabila datang ketentuan Allah dan Rasul-Nya mereka mengambil hukum yang lain daripada itu” (Surah al-Ahzab Ayat 36)

Kedua; Buka pintu hati ketika sahabat yang salih dan salihah ingin berkenalan.

Jangan memisahkan diri daripada orang yang mahu mengingatkan diri kita kepada Allah SWT. Terimalah nasihat orang-orang yang salih dengan hati terbuka. Firman Allah SWT: ”Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang mengajak ke jalan Tuhanmu di pagi dan petang hari kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya. Dan janganlah pandanganmu berpaling dari mereka kerana inginkan perhiasan dunia. Dan janganlah kamu taat kepada mereka yang telah kami palingkan hatinya dari mengingati Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Dan sesungguhnya keadaan mereka itu amatlah melampaui batas.” (Al-Kahfi: 28)

Ada beberapa sifat yang dimiliki oleh seorang sahabat yang baik. Pertama, beriman dan sentiasa mahu kita mempertingkatkan keimanan. Kedua, rajin bekerja dan beramal salih, suka membantu kita dalam berbuat baik. Ketiga, amat berminat kepada ilmu agama. Keempat bersifat jujur dan ikhlas dalam bersahabat.

Jika kita memiliki sahabat yang memiliki ciri-ciri seperti ini maka bukalah pintu hati untuk mengambil manfaat daripadanya, kerana sahabat kita itu akan mencorakkan hati, perasaan dan pemikiran kita menjadi lebih baik daripada sebelum kita berkenalan dengannya.

Ketiga, Buka pintu Hati ketika gerak taubat semakin kuat dan jangan ditunda lagi.

Ilmu yang merupakan hidayah dari Allah dan sahabat yang menguatkan iman kita rupanya belum cukup mantap untuk memperbaiki diri kita selagimana dorongan hasrat diri sendiri belum benar-benar kuat. Orang yang menunda taubat biasanya berfikir masih ada modal untuknya menyelamatkan diri iaitu masa. Tunggu sampai anak besar baru hendak sembahyang, tunggu sampai kaya baru hendak sedekah, tunggu masa lapang baru hendak belajar agama, tunggu rambut telah gugur nanti baru bertudung, tunggu masa tua baru bertaubat. Akhirnya tragedi kederhakaan anak Nabi Nuh AS berulang lagi. Peluang taubat di hadapan mata, tetapi kerana masih berasa ada modal menyelamatkan diri ke gunung yang tertinggi dia menjadi buta hati. Begitu juga dengan nasib si penunda taubat, lama kelamaan hatinya menjadi buta disebabkan terlalu banyak berdosa. Maka terhijablah antara dirinya dengan hidayah Allah. Sepertimana firman Allah SWT menegaskan: ”Mereka itu sama sahaja kamu beri peringatan atau kamu tidak beri peringatan mereka tetap tidak mahu beriman.” (Surah Yasin Ayat 10)

Demikianlah tiga usaha memperoleh hidayah Allah iaitu dengan ilmu, sahabat yang salih dan cepat bertaubat. Semua itu bermula dari hati. Semuanya dalam kawalan diri kita sendiri. Dengarlah bisikannya kerana kata hati itu adalah kebenaran. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ”Dosa itu ialah perasaan ragu-ragu dalam hatimu dan engkau tidak suka orang lain mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

Hati yang cerdas dan kuat adalah hati yang memiliki sensitiviti yang tinggi dengan dosa dan maksiat. Perasaan bersalah dan kemurungan akan berlaku apabila berbuat dosa. Sedih bila terlepas sembahyang subuh, murung apabila tidak sempat membaca al-Quran. Risau apabila terlepas lidah mengumpat kawan, takut dengan dosa hari ini dan pilu dengan amal yang sedikit.

Begitulah kata hati yang sihat dan selamat sesuai dengan firman Allah SWT: ”Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih). (Al-Syuara: 88-89)

About darulruqyah

Pengikut al-Quran dan as-Sunnah
This entry was posted in dll. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s