Hubungan Tawakkal, Jihad, Rezeki dan syaitan

بسم الله الرحمن الرحيم

Tajuk kuliah; Erti Tawakkal & hubungannya dengan Jihad, ilmu ar-Ruqa  dan Murah rezeki (lulus exam cnth.) 
Oleh : Ustaz Abdul halim (Kuliah Maghrib Masjid University of Sheffield, UK.)

Tahukah anda bahawa bertawakkal (tawakkul) boleh selamat dari sihir, sentuhan roh jahat, al-hasad dan al-Ain atau apa-apa sahaja penyakit yang ada hubungan dengan syaitan yang dilaknat oleh Allah تعالى, dan tawakkal juga antara sebab murah rezeki dan anda berjaya di setiap urusan, InsyaAllah.

Makna tawakkal atau tawakkul ( التوكل )ialah:
1-(إستسلم) Menyerah dan redha segala urusan kepada Allah تعالى setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan terima dengan natijah sebab-sebab yang kita usahakan. (أما التواكل: أي الاعتماد على الله بدون بذل جهد والعمل) adapun makna tawaakal (التواكل) iaitu berserah pada Allah tanpa buat sesuatu atau dengan berusaha secara tidak bersungguh-sungguh.
2-( رسوخ القلب)Keteguhan hati terhadap Allah تعالي pada maqam al-Tauhid (في مقام التوحيد ) iaitu hati kita mesti yakin hanya keesan Allah تعالى sahaja yang mengurus segala-galanya.
Ertinya : Berserah diri dan berpegang teguh kepada Allah تعالي

Perbezaan antara tawakkal التوكل dengan التواكل tawaakal;
1 Tawakkal التوكل memberi semangat kepada orang mukmin untuk mempunyai kekuatan dan kekuasan dalam berkerja keras. Tawaakal التواكل membuatkan manusia menjadi pemalas dan lemah, cepat penat dan letih.
2 Tawakkal التوكل adalah Ibadah dan ketaatan. Tawaakal التواكلadalah maksiat dan dosa kerana suatu larangan Allah تعالي.
3 Tawakkal التوكل membawa kebahagian kepada individu dan masyarakat. Manakala tawaakal التواكلmembawa kesan yang buruk dan kekacauan terhadap individu, keluarga dan masyarakat.
4 Tawakkal التوكلmerupakan hidayah bimbingan Allahتعالى dan nikmat kurnianNya. Tawaakal التواكل adalah kesalahan kesesatan yang dianjurkan oleh syaitan dan tidak menghasilkan kejayaan dimana akan menyesal di dunia dan dihari qiamat
5 Tawakkal merupakan tanda-2 kemanisan iman yang sempurna lagi sahih.

Antara cahaya Tawakkal di dalam al-Quran (التوكل في ضوء القرآن) ;
1- Allahتعالى membela mereka yang bertawakkal lihat an-Nisaa’: 81

{وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُواْ مِنْ عِندِكَ بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلاً}

Ertinya; Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah تعالى kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka)

2- Allah akan menyelamat dan menjadi pelindung tehadap mereka yang bertawakkal lihat al-Ahzab: 48

{وَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ وَدَعْ أَذَاهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا}

Ertinya; Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).

3- Bertawakkal hanya terdapat dari mereka yang benar- benar beriman,  al-Maidah:23

{قَالَ رَجُلانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُواْ عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُواْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ}

Ertinya; Berkatalah dua lelaki (anak buah Nabi Musa) di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah Tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”

4- Bertawakkal membuka pintu rezeki dari Ilahi dan akan selamat dari kemiskinan, At-            Tallaq: 3

{وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا}

Ertinya; Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

5- Mereka yang bertakwa adalah kekasih Allah تعالىlihat Ali Imram: 159

{…فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ}

Ertinya; … Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Contoh gambaran aqidah tawakkal yang salah;
Aqidah Tawakal yang lemah (ضعف التوكل) ini terdapat sangat banyak terhadap orang-2 yang soleh dan mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik tapi lemah aqidah tawakkalnya, dan salah pegangan aqidah mereka seperti mahu mendapat sesuatu yang cemerlang tapi tidak berusaha dengan sungguh-2 atau kuat tidur mahupun berkhayal (berangan-angan) kosong, sebab itu, tidak hairanlah, Sabdanya al-Mustafa صلى الله عليه وسلم di dalam Tafsir Ibnu Kasir Jilid: 8 Halaman: 179 ;

{لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ ، لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ ، تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا}

Ertinya: Jika kamu tawakkal pada Allah , (maka) bertawakallah dengan sungguh (benar), nescaya akan direzekikan untutk kamu sepertimana direzekikan kepada burung, pagi-pagi meninggalkan sarang, dan kembali (dengan) perut penuh lagi kenyang. (At-Tarmizi no. 2344) وقال الترمذي : حسن صحيح (Dan Ber kata al-Tarmizi Hasan Sahih)

Hubungan Tawakkal dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat rezeki, Sabda al-Mustafa صلى الله عليه والسلام di dalam Fathul albari sarah sahih Bukhari: 2757

{ وَجُعِلَ رِزْقِي تَحْتَ ظِلِّ رُمْحِي}

Ertinya ‘ dan Terdapat rezeki itu di bawah bayangan lembing ( pedang atau senjata tajam) ‘ yakni jihad (الجهاد), betapa susahnya persiapan perang..!, menyusun strategi..!, memilih waktu yang sesuai untuk menyerang..!, menghimpun senjata..! melatih tentera..!. jika rezeki dibawah bayangan senjata, maka jihad adalah peranan penting untuk mengangkat ekonomi negara, kerana firman Allah di dalam al- Anfaal : 69

{فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَالًا طَيِّبًا }

Erti firman; Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan ) itu, sebahagian benda halal dan baik.

Maksud yang penulis inginkan disini, ialah antara sebab untuk mendapat rezeki yang halal ini, adalah bukan senang kerana kadang-2 ada sampai mengalir darah atau tergadai nyawa dalam medan jihad.
Adakah yang kita ingin cemerlang dalam pendidikan dan apa jua bidang dengan hanya menunggu nasib tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh atau dalam erti kata lain dengan tidak berjihad(جهاد).

Sebab-sebab (murah rezeki) Tuhan akan menambah rezeki mengikut Tuan Guru Muhamad al-Munajid للشيخ محمد المنجد- أسباب الزيادة في الرزق adalah seperti berikut;
1. الإستغفار والتوبة : Beristighfar dan bertaubat
2. التقوي : Bertakwa
3. التفرغ لعبادة الله تعالي : Sepenuh masa bertujuan untuk beribadah kepada Allah تعالى
4. صلة الرحم : Menyambung silaturrahim
5. الإنفاق في سبيل الله والنفقة على طلاب العلم : Menginfak ke jalan Allah تعالي dan membiayai pelajar menuntut ilmu.
6. الهجرة : Berhijrah
7. المتابعة بين الحج والعمرة : Selalu mengerjakan haji dan umrah.
8. التوكل على الله : Bertawakkal pada Allah.

Nilai-nilai murni yang berfaedah untuk mereka yang bertawakkal (ثمار التوكل) dari sudut ilmu ar-Ruqa (علم الرقى) adalah seperti berikut;

1- Mereka yang beriman, bertawakkal akan selamat dan dilindungi dari dipengaruhi oleh syaitan (يقي من تسلط الشيطان) atau dari kena gangguan (termasuk sihir, al-Ain, al-Hasad), Firman Allah :

قال تعالى : إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُون ) النحل:99)

Ertinya; Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.

2- Mereka yang bertawakkal sambil berdoa semasa keluar dari rumah, Insya Allah akan terselamat dari kekacauan syaitan dan akan di pandu oleh Allah تعالى, dan selamat perjalanannya. Sepertimana di ceritakan dari Anas bin Malik bahawa al-Mustafa صلى الله عليه وسلم bersabda di dalam Sunan Tarmizi no. 3426 :

مَنْ قَالَ- يَعْنِي إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ- بِسْمِ اللَّهِ, تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ, لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ, يُقَالُ لَهُ: كُفِيتَ وَوُقِيتَ وهديت وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ, فَيَقُولُ شَيْطَانٌ آخَرُ : كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ … ؟!

Erti Hadis; Sesiapa yang berkata – iaitu apabila (semasa) keluar dari rumahnya –

بِسْمِ اللَّهِ, تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ, لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Akan dikata kepadanya (oleh yang mengikut dia lafaz majhul); kamu akan dipandu, dibela dan dilindungi, Syaitan akan lari jauh dari mereka dan Syaitan lain berkata; Bagaimanakah anda boleh berurusan dengan orang yang telah dibimbing, dipertahankan dan dilindungi…?!
Erti doa dalam hadis; Dengan nama Allah, Aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya upaya dan kekuatan selain Allah.

3-Tawakkal semasa memasuki rumah juga diajar oleh Baginda al-Mustafa صلى الله عليه وسلم. Maka janganlah lupa untuk berdoa tawakkal apabila hendak memasuki rumah, di dalam Sunan Abi Daud, syarah hadis aunul ma’bud no.5096

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ

Ertinya; Apabila seseorang memasuki rumahnya , maka hendaklah dia berdoa

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا

Kemudian memberi salam kepada ahli rumahnya.

Erti doa dalam hadis; Ya Allah, Aku mohon dari Engkau kebaikan jalan masuk dan jalan keluar, dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah, tuhan kami yang kami tawakkal.

4- Tawakkal adalah antara sebab yang boleh menolak hasad dengki dan al-Ain( التوكل من أسباب والحسد والعين) dan apa-apa penyakit yang berkaitan dengan syaitan, Firman Allah تعالى

وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِنْ بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ
يوسف: 67

Ertinya; Dan ia (Nabi Yaakub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri

Kesimpulan:
Bertawakkal adalah salah satu dari cabang keimanan. Sesiapa yang beriman, wajiblah mengambil tawakkal dalam kehidupan seharian. Tawakkal akan membawa kejayaan dunia dan akhirat kepada hidup seseorang mukmin. Sebab itulah Quran dan Rasulullah menganjurkan umatnya bertawakkal. Sesungguhnya tawakkal itu dapat menjauhi gangguan syaitan dan kejahatan seluruh makhluk, insyaAllah.

Bibliografi;
1-القران والسنة.
2-www.islamweb.net
التوكل من الدستور الإلهي , د. يوسف القرضاوي- 3
4- http://www.iium.edu.my/deed/quran/malay/

اللهم ارزق الفردوس الأعلى في الجنة كل من ساهم في ايصال هذا الخير.. آمين .. آمين .. آمين
Ya Allah, Rezekikanlah Syurga tertinggi iaitu al-Firdaus utk sesiapa yang berkongsi (share) kebaikan (laman blog) ini… Aamin… Aamin… Aamin

About darulruqyah

Pengikut al-Quran dan as-Sunnah
This entry was posted in dll. Bookmark the permalink.

Leave a comment